Briged Putera perkasa pemimpin masa depan

 


KOTA KINABALU: Seramai 75 peserta berjaya menyempurnakan Kursus Latihan Pegawai Tidak Bertauliah anjuran Briged Putera Sabah yang diadakan di sini baru-baru ini.

Pengerusi Latihan Negeri Godfrey Moey berkata, program diadakan di Kionsom Baptist Retreat Centre di Inanam yang berjaya menarik 61 orang peserta dan 14 orang jurulatih.

"Pegawai Tidak Bertauliah merujuk kepada pemimpin dalam kalangan murid sekolah menengah yang berpangkat sama ada Lans Koporal, Koporal atau Sarjan.

"Tujuan utama kursus latihan asas dan lanjutan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sifat kepimpinan serta memperkasakan para peserta sebagai bakal pemimpin pada masa depan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, Briged Putera adalah pertubuhan belia yang memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan belia dalam negara, sentiasa mencari ikhtiar untuk meningkatkan modul dan kaedah latihannya dari semasa ke semasa. 

Katanya, ia adalah untuk memastikan pelaksanaan program bersifat menyeluruh dan menarik dengan menumpukan kepada aspek kerohanian, jasmani, intelek dan sosial para ahli.

"Pihak penganjur telah mula mengorak langkah untuk beralih kepada sesi pembelajaran berasaskan aktiviti daripada gaya pembelajaran dalam bilik darjah yang lama. 

"Ramai peserta berasa teruja dan menerima perubahan baharu ini kerana membolehkan mereka belajar dengan lebih berkesan dalam kumpulan kecil," katanya.
 
Oleh hal yang demikian katanya, pihak penganjur telah mendapatkan khidmat para jurulatih berpengalaman untuk membantu mereka membentuk dan melaksanakan aktiviti-aktiviti luar bersesuaian dengan modul-modul latihan. 

Katanya, Terence Dolinting yang merupakan bekas jurulatih Outward Bound School dan dua pembantunya telah membantu untuk menjayakan program ini.

Dalam pada itu, Joneck Yong daripada Kompeni Ketiga Kota Kinabalu yang menyertai kursus latihan asas menjelaskan dia mendapati bahawa perancangan dan komunikasi adalah mustahak untuk mencapai sasaran, manakala sikap negatif boleh merosakkan kesepakatan sesuatu pasukan.

Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments