Wanita boleh sandang jawatan Premier

 

KUCHING: Golongan wanita negeri ini boleh menyandang jawatan Premier Sarawak asalkan cekap dan mampu melaksanakan tugas dengan baik.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sekarang ini tiada perbezaan jantina dalam memilih pemimpin untuk memimpin sesebuah negeri atau negara. 

“Kalau calon wanita itu cekap dan boleh melaksanakan tugas dengan baik, kenapa tidak?

"Apatah lagi jika rakyat mempunyai keyakinan kepada wanita untuk memimpin mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita GPS Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya pemimpin wanita boleh menjadi Premier Sarawak pada masa akan datang.

Mengambil contoh, Abang Johari berkata Rishi Sunak telah dilantik sebagai Perdana Menteri pertama daripada etnik India di United Kingdom.

“Bagaimana Sunak sampai ke tahap sekarang dan siapa yang boleh meramalkan dia akan menjadi Perdana Menteri UK?

"Dan siapa tahu, mungkin Kamala Devi Harris akan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang akan datang," katanya.

Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya memberi jaminan bahawa GPS akan menghantar calon berkualiti tinggi dan berkebolehan untuk bertanding dalam PRU15.

“Pada 5 November depan (hari penamaan calon) GPS hantar calon yang berkualiti, kita hantar calon wanita yang berpengalaman, kita hantar calon wanita yang kita latih untuk masa depan.

"Kita hantar calon pemuda berpengalaman, kita hantar pasukan GPS,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua jentera untuk meneruskan momentum seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu agar semua calon GPS menang.

Abang Johari turut menggesa semua ahli-ahli GPS mengetepikan perbezaan peribadi serta menolak masalah-masalah lain.

"Kita tumpukan kepada perjuangan rakyat menerusi GPS agar pada 19 November nanti 31 kerusi Parlimen menjadi milik kita.

"Biar kita menang bergaya dan kita menentukan pimpinan negara," kata Abang Johari.


Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments