PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahli Parlimen Rembau akan kekal sebagai menteri kesihatan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya beliau masih kekal sebagai perdana menteri.
Ismail berkata ia bagi memastikan segala pelaksanaan yang dirancang dapat direalisasi dan dilaksanakan.
“…(sebab) di Negeri Sembilan, hasil KJ (Khairy Jamaluddin) sebagai menteri kesihatan, kerajaan sudah luluskan Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek Nilai dengan peruntukan RM600 juta.
“Jika hilang menteri ini (Khairy) akan rugi, sebab apabila dapat kepada orang lain (jadi menteri kesihatan) mungkin projek ini dibatalkan,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan di Felda Palong, dekat Jempol hari ini.
Sementara itu katanya, segala peruntukan bagi melaksanakan setiap inisiatif dan bantuan seperti yang diumumkan dalam belanjawan tahun hadapan sudah tersedia untuk direalisasikan
Beliau berkata sehubungan itu Barisan Nasional (BN) perlu memenangi PRU15 nanti, bagi membolehkan segala inisiatif dan bantuan yang terkandung dalam Bajet 2023 dapat dilaksanakan.
“… kena pastikan BN menang (PRU15), kewangan sudah ada dan ready untuk dilaksanakan (segala inisiatif dalam Bajet 2023),” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membentangkan Bajet 2023 yang terbesar dalam sejarah iaitu berjumlah RM372.3 bilion, peningkatan ketara berbanding Bajet 2022 yang memperuntukan RM332 bilion, manakala Bajet 2021 bernilai RM322 bilion.
Bajet 2023 adalah kedua di bawah kerajaan pimpinan Ismail dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept tahun lepas.
Ismail seterusnya mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan segala janji yang dikemukakan pembangkang dalam manifesto mereka terutama menjelang PRU15.
“Dari segi pengalaman dengan pembangkang, mereka tidak dapat melaksanakan janji mereka, seperti harga minyak turun dan tol dihapuskan. Apabila mereka tidak mampu buat (tepati janji), mereka kata manifesto bukan al-Quran (kitab) yang tak boleh diubah.
“Jadi saya cuma nak mengingatkan, supaya semua tidak lupa janji yang tak ditepati oleh PH (Pakatan Harapan),” katanya.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.