Dokumen didakwa penghakiman Rosmah bocor, Pejabat Ketua Pendaftar lapor polis

 

PETALING JAYA: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat laporan polis berhubung dokumen didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Rosmah Mansor yang telah bocor.

Menerusi satu kenyataan, ia menegaskan perbuatan itu adalah tindakan yang sengaja dilakukan untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

“Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) merujuk kepada laporan Portal Malaysia Today bertajuk “Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022 dan Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here” yang disiarkan pada 26 Ogos 2022.

“Pejabat ini menegaskan bahawa Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara,” kata kenyataan itu.

Media semalam melaporkan, dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion tular di media sosial.

Memetik portal mykmu.net, dokumen terdiri daripada tiga muka surat kertas keputusan kes berkenaan mula disebarkan portal Malaysia Today semalam.

Keputusan kes berkenaan sepatutnya dibacakan di Mahkamah Tinggi pada 1 September ini.

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments