Bakar rumah ibu, mahkamah tolak pengakuan salah lelaki

Tertuduh keluar dari kamar mahkamah selepas selesai prosiding kes. 

KUCHING: Mahkamah Sesyen hari ini menolak pengakuan bersalah seorang lelaki yang dituduh membakar rumah dua tingkat milik ibunya di Jalan Astana di sini, hujung bulan lalu.

Hakim Maris Agan menolak pengakuan tertuduh, Azirul Shamsul Tahir, 28, susulan tertuduh semasa mengemukakan rayuan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kebakaran tersebut merupakan satu kemalangan.

Menurut tertuduh semasa kejadian berlaku, dia sedang membersih rumah, memotong rumput dan membakar sampah sebelum api tiba-tiba menjadi marak dan menyambar dinding papan rumah tersebut. 

Terdahulu, lelaki yang baru mendapat kerja sebagai pembantu dapur itu mengaku bersalah atas pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan maksud hendak menyebabkan kemusnahan terhadap rumah milik ibunya yang berusia 73 tahun pada 29 Mac lalu, sekitar jam 8.30 malam di Kampung Malaysia Jaya, Jalan Astana di sini.

Rumah mangsa dilaporkan 100 peratus terbakar dan musnah dalam kebakaran tersebut serta anggaran kerugian dilaporkan berjumlah RM500,000.

Dalam pada itu, sebaik Hakim Maris tidak menerima pengakuan tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu bagaimanapun memohon untuk dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Hakim Maris seterusnya membenarkan tertuduh diberi ikat jamin RM5,000 tunai berserta seorang penjamin tempatan, selain menetapkan kes disebut semula pada 15 Mei depan.

Menurut laporan media terdahulu, tertuduh pada hari kejadian dikatakan sedang merokok sambil membakar sampah di tepi rumah tersebut sehingga api marak dan menyambar dinding papan rumah berkenaan.

Namun tertuduh dilaporkan hanya berdiam diri dan dikatakan tidak cuba memadamkan api sehinggalah orang kampung datang. 

Susulan itu, berdasarkan laporan yang dibuat, tertuduh terus ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan. 

Difahamkan, tertuduh juga dilaporkan pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan pernah dimasukkan ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk pemulihan.


Sumber: UtusanBorneo

Post a Comment

0 Comments