| Pembukaan sempadan negara adalah penting kerana ramai yang terkesan dengan penutupan sejak dilanda Covid-19 terutama yang melibatkan sektor pelancongan, menurut Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama) |
PHNOM PENH: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kepada rakyat Malaysia di Kemboja bahawa Malaysia akan membuka sempadannya tidak lama lagi yang akan memudahkan proses perjalanan terutama bagi mereka yang menetap di luar negara.
Ismail berkata, varian Omicron telah menyebabkan rancangan negara untuk beralih ke peringkat endemik tertangguh dan akhirnya turut melambatkan proses pembukaan sempadan
“Kita hampir mengumumkan bahawa Malaysia telah memasuki peringkat endemik tetapi pada Dis 2021 varian Omicron, yang merebak pantas telah dikesan. Omicron ini tidak seteruk Delta. Ia cepat merebak tetapi tidak begitu berbahaya seperti Delta,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Keluarga Malaysia di Kemboja, malam tadi.
Ismail berkata rakyat Malaysia perlu belajar untuk hidup dengan Covid-19.
“Kita perlu menerimanya (Covid-19) sebagai penyakit lain seperti denggi,” katanya.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kes Covid-19 di Malaysia mencecah kira-kira 27,000 setiap hari, namun majoriti kes adalah dalam Kategori 1 dan 2 berikutan kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini.
“Saya tahu ramai antara anda tidak sabar untuk pulang ke rumah. Saya difahamkan ada antara anda yang sudah hampir dua tahun tidak pulang ke rumah. Jadi dalam waktu yang terdekat, kita akan mula buka sempadan kita untuk seluruh dunia dan tuan-tuan boleh balik ke Malaysia,” katanya.
Terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia menetap di Kemboja dan 2,000 daripadanya berada di ibu kota Phnom Penh.
Ismail berkata, pembukaan sempadan negara adalah penting kerana ramai yang terkesan dengan penutupan sejak dilanda pandemik Covid-19 terutama yang melibatkan sektor pelancongan.
“Oleh itu, kita akan membukanya kembali. Sekatan pergerakan rakyat memberikan impak yang besar buat setiap individu,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, awal suku kedua tahun ini merupakan garis masa realistik untuk pembukaan semula sempadan negara.
Turut hadir pada makan malam tersebut adalah Menteri Luar Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias; Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Mohd Salim Mohd Sharif; Duta Malaysia ke Kemboja Eldeen Husaini Mohd Hashim dan Menteri Kanan Jabatan Perdana Menteri di Kemboja Othsman Hassan.
Othsman juga merupakan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal masyarakat Islam di Kemboja.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.