ISKANDAR PUTERI - Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diumumkan beberapa hari selepas majlis pelancaran jentera PRN Johor di Kota Tinggi pada 18 Februari ini.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PN bercadang mengumumkan minggu lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin positif Covid-19.
"Kita sudah ada tarikh yang sesuai untuk pengumuman calon. Kerusi-kerusi sudah diputuskan pembahagian yang dipersetujui semua parti komponen PH, cuma ada satu dua kerusi lagi dalam perbincangan akhir.
"Calon-calon PN terdiri daripada anak muda, wanita, muka baharu dan mereka yang bersih. Mereka melalui proses tapisan yang ketat supaya nanti calon-calon kita tidak diragui kredibiliti dan integritinya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti di sini pada malam Rabu.
Mengenai status bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain merangkap Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi yang didakwa terlibat dengan kes gangguan seksual, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak polis.
"Bersatu menyerahkan kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan berhubung kes itu. Keputusan untuk mengenakan tindakan lanjut berkaitan kes tersebut akan diputuskan selepas siasatan selesai.
"Keputusan sama ada Rasman kekal mempertahankan kerusi disandangnya juga akan diputuskan semasa pengumuman calon minggu depan," katanya - Sumber: Sinar Harian
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.