Permohonan majlis penangguhan mengikut peraturan 18(1) ...
Cadangan membincangkan tindakan bagi "Rakyat Malaysia" yang ditabalkan sebagai Sultan Sulu ke-33 pada 02 Februari 2011 di Kampung Likas Kota Kinabalu, Sabah Malaysia
Rakyat Malaysia khasnya di Sabah telah dikejutkan dengan tersiarnya berita melalui media eletronik dan surat khabar bahawa seorang "rakyat Malaysia" yang memiliki Mykad 570707-12-6083 / H0695275 mengikut daftar pengundi yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia sebagai pengundi di Kawasan N.14 Likas, Sabah. Mengikut berita yang tersiar, Datu Mohd. Akjan bin Datu Ali Muhammad setelah mengangkat sumpah kesetiaannya telah ditabalkan sebagai Sultan Sulu yang ke-33 dengan gelaran Paduka Mahasari Maulana Al-Sultan Sharif Ul-Hashim II, Dr. Sharif Mohammad Akjan Mu'izzuddin Waddaaulah Ibni Al-Marhum Sultan Ali Muhammad Pelalun, pada 02 Februari 2011 di Likas Sabah dengan disaksikan oleh sekumpulan 60 orang termasuk Pegawai Kanan Kesultanan Sulu dari provinsi Sulu di Selatan Filipina. Kerajaan sementara Kesultanan Sulu yang diketuai oleh Perdana Menterinya Datu Albi Ahmad Julkernain telah menjelaskan bahawa pentabalan tersebut diadakan jauh dari ibu kota negeri provinsi Sulu di Jolo atas sebab keselamatan.
Mengikut profilnya, Datu Mohd Akjan dilahirkan pada 23 November 1957 di Jambangan Nipah-Nipah di kepulauan Sulu, adalah anak tunggal Sultan Sharif Ali Mohd Pulatan dengan isterinya Sharifah Sarimah ibni Sharif Imam Yusop ibni Datu Sharif Salahudin ibni Sharif Safarudin telah dibawa oleh bapa saudaranya Hasirin Sumabud ke Kem Sibaud di Sandakan atas alasan keselamatan pada 11 November 1962, kemudian menjadi warganegara Malaysia. Beliau adalah bekas tahanan ISA dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan kerakyatan dan pengeluaran Kad Pengenalan, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia bahagian Sabah (Perkida), beliau juga sebagai ketua Hal Ehwal Antarabangsa Perkida.
Penimbulan hal ini telah dengan sendirinya memperjelaskan kecurigaan dan wasangka rakyat tulin Malaysia khasnya di Sabah bahawa selama ini warga-warga asing telah dan sedang dianugerah dengan keistimewaan sebagai rakyat Malayasia ada kebenarannya, dan 'mereka' ini sedang bercampur gaul, bersaing dengan rakyat Malaysia tempatan didalam semua bidang perniagaan , perusahan, pertumbuhan penduduk dan sebagainya. Ketua Menteri Sabah juga dengan tegas telah membidas agar Datu Mohd. Akjan dilucut keahliannya dari Parti memerintah UMNO.
Keistimewaan yang diberi oleh Kerajaan untuk rakyat asing sebagai warganegara Malaysia telah dibalas dengan satu tamparan yang dahsyat dan amat sukar kita bayangkan sebagai rakyat Malaysia yang taat setia mempertahankan Kedaulatan Negara kita dengan menjunjung tinggi 5 Prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Negara. Adakah rakyat yang diragui ini mempunyai Ketaatan dan Semangat Kekitaan serta Patriotisma terhadap Negara kita, inilah sebenarnya kebimbangan rakyat di Sabah selama ini.
Penimbulan hal ini sendiri juga telah memperjelaskan dakwaan kita di Dewan yang mulia ini berkaitan dengan penumbuhan bancian penduduk secara mendadak dengan melambung tinggi sejak tahun 1970 hingga sekarang iaitu peningkatan lebih daripada 400% dalam masa 40 tahun. Tentunya dakwaan rakyat Sabah selama ini ada kebenaran dengan bukti jelas bahawa ramai orang asing yang telah diisytiharkan sebagai rakyat Malaysia tanpa mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub dalam akta Perlembagaan Malaysia, Enakmen Pendaftaran Rakyat serta Ordinan Pendaftaran Sabah yang masih diguna pakai khasnya di Negeri Sabah.
Dengan ini majlis Dewan yang mulia ini perlu ditangguhkan untuk membincangkan tindakan terhadap perkara yang tertentu ini. Bahawa "Rakyat Malaysia" yang diragui ini dan mendakwa sebagai "Sultan Sulu yang ke-33" walhal kepulauan Sulu adalah dalam negara jiran Filipina manakala pentabalan diadakan di dalam Negara Malaysia yang berdaulat.
Perkara ini adalah merupakan kepentingan bagi orang ramai dan nampaknya telah menjejaskan hubungan dua Negara diantara Malaysia dengan Filipina. Peristiwa ini juga telah mengukuhkan kecurigaan dan dakwaan majoriti rakyat Malaysia khasnya di Sabah terhadap pendatang asing yang mudah untuk mendapatkan dokumen peribadi sebagai rakyat Malaysia.
Memandangkan perkara ini sangat serius maka dengan ini saya mencadangkan hal ini amat dikehendaki dan perlu disegerakan atas sebab keselamatan Negara kita. Dengan dakwaan Datu Mohd. Akjan bahawa kerajaannya mempunyai ramai orang terutamanya mereka yang berketurunan Tausug bukan sahaja di provinsi Sulu tetapi di sebahagian Pulau Borneo termasuk di Sabah maka ini dengan sendirinya telah menimbulkan tuntutan haknya terhadap Negeri Sabah.
Dewan Rakyat
0 Comments