Datuk Seri Yong Teck Lee (dua dari kanan) bersalaman dengan perwakilan SAPP selepas merasmikan Mesyuarat Agung Bersama SAPP Tanjung Papat dan Elopura di Sandakan, hari ini. - NSTP/Poliana Ronie Sidom |
SANDAKAN: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee tidak menolak kemungkinan bertanding semula pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, beliau perlu melihat terlebih dahulu jumlah kerusi dan kawasan bakal ditandingi partinya pada pilihan raya berkenaan sebelum membuat keputusan.
Bagaimanapun, katanya, tidak menjadi sebarang isu jika beliau bertanding semula atau tidak pada pilihan raya itu.
"Bagi saya, tanding, tak tanding, tak jadi isu. Kita perlu lihat gambaran keseluruhan, biasanya di mana (kawasan) dan berapa (kerusi), barulah saya tahu di mana saya berada (bertanding)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Bersama SAPP Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) Tanjung Papat dan SAPP CLC Elopura, di sini hari ini yang dihadiri 250 perwakilan dari kedua-dua kawasan.
Teck Lee pernah memimpin negeri di bawah sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah. Sebelum itu beliau adalah Timbalan Ketua Menteri, pernah menjadi ADUN Likas dari 1985 hingga 2002 dan Ahli Parlimen Gaya dari 1999 hingga 2002.
Ditanya sama ada SAPP sudah menentukan kerusi bakal ditandingi, Teck Lee berkata, parti itu masih dalam proses rundingan dengan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Di Sandakan, ada (kerusi) Tanjung Papat, Elopura dan Batu Sapi, sekurang-kurangnya ada satu kerusi (akan ditandingi SAPP). Di pantai timur dan pantai barat, kita sedang runding," katanya.
Teck Lee yakin PRN Sabah akan berpihak kepada gabungan itu jika melihat kepada isu utama pada pilihan raya akan datang, iaitu sama ada memilih parti tempatan atau parti luar.
"PRN akan datang, saya lihat trend di antara parti tempatan dan parti Malaya. Bagi SAPP, sebagai parti yang sudah lebih 30 tahun (ditubuhkan di Sabah), trend akan berpihak kepada kita," katanya.
Sumber: BeritaHarian
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.