PUTRAJAYA: Peguam kepada Yusoff Rawther memohon agar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membabitkan beberapa persoalan undang-undang dan perlembagaan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan didengar lebih awal, dengan cadangan tarikh pendengaran pada 21 Julai.
Dalam surat yang dihantar kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, firma guaman The Law Practice of Rafique memaklumkan bahawa rekod rayuan telah lengkap susulan Mahkamah Tinggi mengeluarkan alasan penghakiman bertulis berhubung penolakan permohonan Anwar sebelum ini.
“Pengurusan kes boleh ditetapkan lebih awal agar rayuan ini dapat didengar dan diselesaikan pada 21 Julai,” menurut kandungan surat yang dilihat FMT.
Peguam berkenaan menjelaskan bahawa rayuan tersebut hanya melibatkan persoalan undang-undang tanpa sebarang fakta yang dipertikaikan.
Pada 10 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penangguhan sementara (ad interim) oleh Anwar terhadap saman sivil yang difailkan Yusoff, dan menetapkan 21 Julai untuk pendengaran penuh permohonan penangguhan itu.
Mahkamah Rayuan turut menetapkan 2 September bagi pengurusan kes rayuan utama. Peguam Yusoff, Rafique Rashid Ali, turut mengesahkan perkara berkenaan.
Sehubungan penangguhan sementara itu, perbicaraan saman yang sepatutnya bermula pada 16 Jun di hadapan Hakim Roz Mawar Rozian telah ditangguhkan.
Terdahulu, pada 4 Jun, Roz Mawar menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan selepas memutuskan kesemua isu yang dibangkitkan gagal memenuhi syarat ditetapkan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Dalam keputusannya, Roz Mawar menyatakan permohonan itu tidak wajar dipertimbangkan dari sudut bidang kuasa dan bergantung kepada andaian spekulatif yang tidak mempunyai asas kukuh di sisi perlembagaan.
Anwar dalam rayuannya mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman yang difailkan Yusoff empat tahun lalu.
Saman tersebut berkait insiden yang didakwa berlaku di kediaman Anwar di Segambut pada Oktober 2018, sebelum beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 24 November 2022.
Yusoff mendakwa dirinya telah diserang dan menuntut ganti rugi am, khas, teruk serta teladan, termasuk faedah, kos dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan turut memfailkan saman balas.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.