Tindakan Tengku Zafrul buka ruang perkara ‘sukar dijangka’, kata Rafizi

 

AMPANG: Tindakan Tengku Zafrul Aziz keluar Umno dan hasratnya menyertai PKR akan membuka ruang kepada perkara-perkara sukar dijangka, yang akan merisikokan hubungan parti dalam kerajaan perpaduan, kata Rafizi Ramli.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, perkara ini samar-samar memandangkan draf perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan tidak menyebut berkenaan larangan pengambilan pemimpin parti lain.

“Perkara itu (Zafrul keluar Umno dan berhasrat sertai PKR) sepatutnya dielakkan kerana ia buka pintu (kepada perkara) yang susah kita nak jangka. Kalau pemimpin Umno (kritik), bagaimana nak putuskan?

“Perkara ini mesti dibincangkan pada peringkat pimpinan kerajaan perpaduan nanti kerana memang ada ‘grey area’ dalam draf perjanjian, yang tidak dimuktamadkan dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Belia Madani 2.0 Parlimen Pandan.

Justeru, katanya, pandangan pemimpin Umno seperti Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi adalah munasabah dan perlu diambil kira oleh pimpinan kerajaan perpaduan.

“Pandangan Umno itu adalah dari perspektif untuk kita kekalkan harmoni sesama parti di dalam kerajaan perpaduan,” tambahnya.

Dalam pada itu, apabila ditanya sama ada PKR juga harus terbuka jika ada parti lain ‘memancing’ pemimpinnya jika ia menerima Tengku Zafrul, Rafizi berkata, pucuk pimpinan parti harus tampil membuat penjelasan mengenai perkara itu terlebih dahulu.

Jumaat lepas, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MKT Umno dan ketua bahagian Kota Raja, serta keluar parti.

Katanya, beliau telah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

Tindakan Tengku Zafrul itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemimpin Umno, termasuk ada yang menuduh PKR cuba ‘mencuri’ ahlinya, serta menikam Umno dari belakang.

Pucuk pimpinan BN turut digesa mengkaji semula hubungan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang sekiranya PKR menerima Tengku Zafrul.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki juga dilaporkan berkata, amat tidak wajar mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan menerima ahli parti lain sewenang-wenangnya kerana ia boleh menyebabkan ketidakharmonian.


Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments