PETALING JAYA: Lebih 10 mayat, termasuk seorang bayi, ditemukan sepanjang pelaksanaan projek mitigasi banjir Sungai Klang di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG), menurut pihak pemaju induk.
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin, memaklumkan bahawa penemuan mayat bukanlah kejadian terpencil, malah berlaku hampir setiap bulan sejak kerja-kerja pendalaman dan pelebaran sungai dimulakan pada 1 November 2022 hingga kini.
“Setakat ini, lebih 10 mayat telah kami serahkan kepada pihak polis dan bomba untuk tindakan serta siasatan lanjut.
“Malah, pernah berlaku penemuan tiga mayat secara berturut-turut,” katanya sebagaimana dipetik Sinar Harian di Kota Kemuning, Shah Alam.
Jelasnya, penemuan mayat termasuk bayi dianggap sebagai aspek paling tidak dijangka sepanjang pelaksanaan projek itu.
Selain itu, dasar Sungai Klang didapati begitu tercemar apabila pelbagai jenis sampah bersaiz besar ditemui, termasuk peti sejuk, tayar lori, katil, tilam, sofa dan motosikal.
Projek mitigasi banjir ini merupakan sebahagian daripada usaha holistik di bawah SMG untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sebanyak 40%, di samping memulihkan ekosistem sungai serta menaik taraf kualiti air kepada Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas III dan ke atas.
Syaiful turut memaklumkan, projek ini menyokong pelaksanaan Shah Alam Sustainable Urban Drainage (SASUD) dan pembangunan loji rawatan air di Sungai Rasau, bagi merealisasikan hasrat menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air mentah yang boleh dirawat menjadi air minuman.
Pada masa ini, projek tersebut sedang giat dijalankan di sekitar Shah Alam yang meliputi kawasan Alam Impian, Seksyen 24, Seksyen 17 dan Kota Kemuning, yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi banjir.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.