PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno Sabah mencadangkan parti-parti yang bertanding dalam PRN akan datang mempertimbangkan pertandingan mesra di kerusi bertindih tetapi kekal bersatu dengan matlamat bersama.
Bendahari Umno Sabah, Salleh Said Keruak berkata, daripada membiarkan pertindihan kerusi mencetuskan ketegangan atau mendorong calon bebas yang ditaja, lebih baik ditangani melalui pertandingan mesra.
“Pertandingan mesra bukan bebas untuk semua. Ia adalah persetujuan yang dirancang dan saling hormat, di mana walaupun bertanding di kerusi sama, siapa pun yang menang, kerusi itu kekal dalam gabungan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Salleh berkata, untuk mengurus perkara ini secara berkesan, setiap parti perlu seimbang antara realiti politik dan rasa hormat terhadap kekuatan rakan-rakan gabungan.
“Pertandingan mesra bukan soal ego, tetapi mencari jalan praktikal di lapangan.
“Jika sekurangnya separuh daripada 73 kerusi DUN Sabah dapat dipersetujui tanpa pertindihan, itu sudah satu asas yang kukuh. Untuk baki kerusi, pertandingan mesra hanya wajar digunakan apabila rundingan tidak menemui kata sepakat dan mesti disertai dengan persefahaman yang jelas,” katanya.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata beberapa faktor perlu dipertimbang sebelum membuat keputusan tentang pertandingan mesra, termasuk keputusan pilihan raya lepas, kekuatan jentera, calon yang dicadangkan, dan kemungkinan pertukaran kerusi.
Katanya, pendekatan itu, yang turut diamalkan di negara seperti India, Jerman dan Indonesia, boleh membantu mengurangkan ketegangan antara jentera parti, mengekalkan kesatuan gabungan, dan memberi kejelasan kepada pengundi.
“Ada yang berpendapat lebih baik parti bertanding solo dahulu dan hanya bentuk gabungan selepas pilihan raya. Namun, pendekatan ini membawa banyak ketidaktentuan kepada pengundi, calon, dan hala tuju pentadbiran.
“Ia membuka ruang kepada agenda peribadi dan rundingan pasca pilihan raya yang tidak stabil. Gabungan sebelum pilihan raya memberi kejelasan, membina kepercayaan, dan membawa kepada keputusan yang lebih kukuh,” katanya.
Minggu lalu, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN akan datang dan hanya akan mempertimbangkan untuk bekerjasama selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Pengerusi GRS Hajiji Noor pula pada Khamis berkata gabungan itu akan membuat keputusan mengenai soal kerjasama dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS selepas Aidiladha.
Sementara itu, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan telah pun mengumumkan kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah, dan rundingan dikatakan sedang berjalan untuk menarik GRS menyertai gabungan tersebut.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.