AMPANG: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendedahkan bahawa Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pernah mencadangkan agar diwujudkan jawatan timbalan presiden dilantik, untuk ditawarkan kepadanya.
Rafizi berkata, beliau bagaimanapun menolak cadangan itu kerana sejak awal lagi beliau telah jelaskan tidak akan terima sebarang jawatan dalam PKR.
“Masa (Nurul Izzah) jumpa saya, beliau cuba nak bawa (cadangan) kalau ada timbalan presiden dilantik, sayalah timbalan presiden (dilantik) itu,” katanya ketika ditemui di Karnival Belia Madani Parlimen Pandan.
“Kalau presiden dilantik pun saya tidak berminat, apatah lagi apa-apa jawatan (lain) kerana ia bukan soal jawatan tetapi soal mesej dan juga perjuangan yang kita nak bawa.”
Rafizi berkata, buat masa ini beliau akan kekal sebagai ahli biasa PKR dan akan fokus pada tugas sebagai Ahli Parlimen serta ketua cabang Pandan.
Pada pemilihan pusat PKR bulan lepas, Rafizi yang memperoleh 3,866 undi kalah kepada Nurul Izzah yang mendapat 9,803 undi dalam perebutan jawatan timbalan presiden.
Susulan kekalahan itu, Rafizi umum meletak jawatan sebagai menteri ekonomi, dengan surat peletakan jawatan berkuat kuasa 17 Jun sudah diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Rafizi berkata, keputusan itu dibuat selaras amalan demokrasi negara maju di mana pemimpin yang kalah pemilihan parti wajar memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu untuk memikul tanggungjawab dalam kerajaan.
Sebelum pemilihan itu berlangsung, Rafizi menyatakan akan melepaskan jawatan menteri dan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa jika gagal mempertahankan kedudukan nombor dua parti yang disandangnya.
Sumber: FMT
0 Comments
Segala komen yang ditulis adalah tanggungjawab individu masing-masing dan pihak blog tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang ditinggalkan.