GRS tentukan hala tuju gabungan PRN: Hajiji

 

KUNAK: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama, namun perkara itu perlu diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) terlebih dahulu.

“Kita menghormati pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah untuk memastikan kestabilan politik di Sabah, di mana beliau selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mahu melihat GRS bersama dengan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

“Dalam konteks kerjasama, kita tiada masalah kerana Kerajaan Negeri hari ini adalah GRS–PH Plus. Namun, apa jua keputusan kita untuk PRN nanti akan dirujuk terlebih dahulu kepada Ahli Majlis Tertinggi GRS untuk diputuskan.

“Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri, dan kita amat menghormati pandangan serta nasihat beliau mengenai cara untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah. Jika keadaan stabil, kita boleh maju dan melaksanakan pelbagai pembangunan untuk rakyat. Kita menghormati perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Ketua Menteri: Membina Masa Depan Kunak, di sini, hari ini.

Menurut Hajiji lagi, pendiriannya untuk GRS mengetuai cabaran Kerajaan Negeri dalam menghadapi PRN17 adalah kerana beliau merasai kehendak rakyat negeri ini yang mahukan Kerajaan Negeri diketuai oleh parti tempatan, khususnya menerusi GRS selaku satu-satunya gabungan politik berasaskan parti tempatan di Sabah.

Katanya, pencapaian Kerajaan Negeri yang diterajui GRS ketika ini telah terbukti, termasuk dari segi pembangunan ekonomi, yang wajar terus ditingkatkan melalui mandat baharu daripada rakyat dalam PRN17.

“Banyak inisiatif telah kita laksanakan di seluruh Sabah, yang cukup baik untuk masa depan, bukan sahaja dari sudut pembangunan fizikal, tetapi juga dari segi pembangunan ekonomi negeri secara keseluruhan.

“Saya bangga kerana kita mempunyai satu pasukan mantap dalam kerajaan dan rakyat memberikan sokongan padu. Kita perlu belajar daripada sejarah politik Sabah, kalau asyik bergaduh, kita akan berpecah.

“Atas sebab itu saya mahu GRS menjadi ketua pada PRN nanti. Saya merasai denyut nadi rakyat yang mahukan kerajaan diketuai oleh sebuah parti tempatan di Sabah,” katanya lagi.

Tambah Hajiji, pencapaian yang dilakar oleh Kerajaan Negeri pimpinannya tidak pernah berlaku dalam kerajaan terdahulu, antaranya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang memberikan banyak manfaat kepada Sabah.

Katanya, banyak yang diperoleh Sabah melalui perjanjian itu, termasuk pegangan 20 peratus dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang dan projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang.

“Banyak yang kita dapat, dan ada lagi yang masih dirunding dengan PETRONAS. Dulu, semua ini tiada. Jika kita runding dengan baik, PETRONAS akan beri peluang kepada kita untuk memajukan industri minyak dan gas di Sabah,” katanya. 

Selain itu, Hajiji turut mengumumkan penyerahan tanah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sebagai rizab perkampungan bagi Kampung Kunak Jaya, Bagian dan Selamat.

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk membina kemudahan jeti di Kampung Pangkalan. Insya-Allah, kita akan terus berkhidmat untuk rakyat Kunak sekiranya masih diberi mandat selepas PRN nanti,” katanya.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak Datuk Norazlinah Arif, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Sr Safar Untong.

Sumber: NewSabahNews

Post a Comment

0 Comments