ALBUM: Sebahagian pelajar SMK Taman Tun Fuad yang terlibat dalam 'Santai Minda: Langkah Kecil, Perubahan Besar' yang diterajui UMS merakamkan gambar kenangan sempena program itu. |
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh pendidikan berasaskan pengalaman melalui Grant Living Lab EduXperiential 2024-2025, yang diterajui Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS.
Inisiatif itu bertujuan memperkayakan pengalaman pembelajaran secara langsung di sekolah-sekolah terpilih, dengan memberi fokus kepada pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kesejahteraan pelajar secara holistik.
Program 'Santai Minda: Langkah Kecil, Perubahan Besar' diperkenalkan dengan matlamat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam kejayaan akademik dan kesejahteraan diri.
Ia diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya dan SMK Taman Tun Fuad yang menyasarkan pelajar tingkatan lima yang bakal menghadapi peperiksaan utama.
Penglibatan pelajar STEM dari kedua-dua sekolah itu mencerminkan pendekatan komprehensif UMS dalam menyokong perkembangan akademik dan kesejahteraan mental secara serentak, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan generasi yang lebih berdaya saing, inovatif, dan berdaya tahan.
Inisiatif itu merupakan hasil kolaborasi antara tiga fakulti di UMS, iaitu Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.
Selain barisan pensyarah, 25 orang pelajar perubatan tahun empat turut memainkan peranan sebagai fasilitator, memberikan bimbingan langsung dan berkongsi pengalaman dalam mengurus tekanan akademik serta kesejahteraan mental.
Penyelaras Program yang juga pakar psikiatri, Dr. Sylas Sebastian A/L Neela Sekhar berkata, program itu direka untuk memperkasakan pelajar dengan strategi berkesan dalam mengurus tekanan akademik dan kesejahteraan diri.
Katanya, pendekatan proaktif dalam mendidik dan menyokong kesihatan mental sejak di bangku sekolah adalah penting bagi membina daya tahan (resilience) dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Balan A/L Rathakrishnan dari Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial memberitahu, modul yang dirangka bertujuan memberi kefahaman mendalam tentang pentingnya kesihatan mental sebagai tunjang kejayaan akademik dan kesejahteraan hidup.
"Kami berharap melalui aktiviti interaktif dan sesi perkongsian, pelajar dapat mengenal pasti tanda-tanda awal stres serta menguasai teknik pengurusan emosi secara positif," katanya.
Sempena program itu, Pakar Kesihatan Awam dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Madya Dr. Mohd Faizal bin Madrim turut menyampaikan ceramah berkaitan aspek psikologi dan fisiologi stres, di samping memberi panduan praktikal bagi membantu pelajar membina daya tahan mental.
Pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen UMS dalam memperkukuh kewibawaan akademia serta peranan warga kampus dalam membimbing generasi muda ke arah kesejahteraan holistik.
Melalui pendekatan interdisiplinari yang menggabungkan penyelidikan, kepakaran pensyarah, dan penglibatan mahasiswa sebagai fasilitator, program itu bukan sekadar memberi impak kepada peserta tetapi juga memperkasakan ekosistem pembelajaran berasaskan pengalaman di UMS.
Inisiatif berkenaan juga selari dengan usaha universiti dalam memperluaskan pemindahan dan perkongsian ilmu kepada masyarakat, mengukuhkan kedudukan UMS sebagai institusi yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut berperanan sebagai pemangkin perubahan sosial.
Selain manfaat kepada pelajar sekolah, program terbabit juga membuka ruang kepada mahasiswa UMS untuk mengasah kemahiran profesional, komunikasi dan kepimpinan melalui bimbingan langsung kepada komuniti luar.
Secara keseluruhan, inisiatif itu bukan sekadar langkah kecil tetapi pemangkin kepada perubahan besar dalam membentuk masyarakat yang lebih cakna terhadap kesihatan mental dan kecemerlangan akademik.
Sumber: UtusanBorneo
0 Comments