MAUT: Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dari pacuan empat roda. |
TUARAN: Seorang pemandu maut manakala penumpang parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tuaran - Kota Belud, Kampung Bunga Tenghilan, di sini, petang Jumaat.
Mangsa lelaki berusia 30 tahun memandu kenderaan pacuan empat roda yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan membabitkan lori 10 tan dengan pacuan empat roda pada jam 5.55 petang.
"Setiba di lokasi, pemandu lori tidak mengalami kecederaan manakala pemandu yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
"Penumpang lelaki cedera parah dibawa ke Hospital Tuaran oleh ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pemandu pacuan empat roda disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 6.31 petang," katanya.
Sumber: UtusanBorneo
0 Comments