BINTULU: Dua isu utama yang membelenggu penduduk di Sibu iaitu bekalan air yang tidak menentu serta masalah banjir akan diberikan perhatian khusus agar dapat ditangani secara berkesan, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing (gambar).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bahagian Sibu baru-baru ini dimaklumkan kejadian banjir sudah berlaku sejak sekian lama dan seakan-akan tiada kesudahan dan langkah drastik harus diambil bagi mengurangkan atau meminimumkan risiko musibah berkenaan.
"Saya membesar di Sibu dan saya sendiri amat memahami akan senario yang rakyat di sini hadapi setiap kali berlaku banjir," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Bagi fenomena banjir di Sibu katanya, ketiadaan sistem aliran yang sempurna menyebabkan air bertakung di dalam tanah dan tidak boleh keluar menyebabkan struktur tanah menjadi lembap.
Menurutnya, walaupun sibu merupakan kawasan rendah dan tanah berpaya, ia bukan alasan senario banjir tidak dapat diselesaikan.
"Jangan salahkan keadaan geografi, sebaliknya cari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani msalah banjir yang berlaku di Sibu," ujarnya.
Menurutnya, beliau turut dimaklumkan kerja-kerja mengepam sudah dihentikan dan sebaliknya memfokuskan kepada kerja-kerja pendalaman Sungai Seduan.
Peruntukan sebanyak RM15 juta ujarnya, akan digunakan bagi mendalamkan muara Sungai Seduan, namun sebahagian sungai sudah tertimbus dengan mendapan dan rumput.
Pegawai berkaitan katanya, tidak dapat memberi jawapan yang jelas dan sekiranya hanya muara sungai yang diperdalamkan dengan peruntukan itu, bagaimana pula dengan bahagian lain Sungai Seduan nanti.
Keadaan banjir katanya, masih sama yang mana air tidak dapat mengalir keluar dengan lancar dan banjir akan terus berlaku setiap kali hujan lebat melanda.
Bercakap mengenai isu bekalan air, Tiong berkata rakyat telah berdepan dengan ketiadaan air untuk jangka masa yang panjang.
"Aduan telah dibuat dari tahun 2022 sehingga sekarang, namun bekalan air tidak konsisten yang mana kerap rosak dan merimaskan setiap isi rumah yang menghadapinya.
"Tetapi, pegawai hanya memberi jawapan akan melaksanakan pemeriksaan dan menunggu fasa projek bermula terlebih dahulu. Paip sudahpun dipasang, namun sehingga kini masih tiada air yang mengalir," katanya.
Tiong menambah, beliau mendapati tekanan air di dalam air paip sering tidak mencukupi dan sekiranya penduduk memaksa tekanan dan mengepam ke dalam paip, ia akan mengundang risiko paip pecah.
"Justeru, saya mendesak pihak berwajib supaya segera mengemukakan pelan lengkap dan melaksanakan tindakan segera bagi memastikan bekalan air stabil serta masalah banjir diatasi dengan pantas," tambahnya.
0 Comments