Lau (tengah) bersama mangsa penipuan binaan rumah pada sidang media di Pejabat MTPN Cawangan Sibu, hari ini. |
SIBU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Negeri Sarawak, Cawangan Sibu mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati memilih kontraktor binaan rumah untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
Pengerusinya Lucas Lau berkata, keberkesanan dalam menangani kes penipuan kontraktor binaan bergantung dengan kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat yang perlu melibatkan diri dalam memantau dan menilai kontraktor yang beroperasi di kawasan mereka.
“Dengan adanya kesedaran dan pengetahuan hak sebagai pengguna diharap kes penipuan ini dapat dikurangkan. Sikap proaktif dalam melaporkan kes-kes mencurigakan juga amat digalakkan agar tindakan segera boleh diambil,” ujarnya.
Pada sidang media di Pejabat MTPN Cawangan Sibu hari ini, Lau berkata pihaknya telah menerima aduan daripada sekumpulan pengadu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan binaan rumah sebuah syarikat pada 4 Januari lepas.
“Scam binaan rumah ini telah melibatkan lebih 20 orang mangsa dengan pelbagai jenis binaan, antaranya binaan satu rumah lengkap, ubah suai rumah dan lain-lain.
“Taktik penipuan ini bermula dengan iklan tawaran di Facebook dan syarikat (kontraktor) ini giat menjalankan promosi syarikat mereka dengan menjadi vendor yang berdaftar di pesta atau jerayawara di sekitar Zon Tengah bagi mencari mangsa.
“Pelbagai pelan rumah, risalah dan model rumah turut dipamerkan bagi meyakinkan mangsa.
“Kontraktor ini juga melantik berberapa ejen bagi mencari pelanggan atau mangsa yang berpontensi.
“Pasukan syarikat ini giat aktif mencari mangsa sekitar penghujung Disember 2022 hingga November 2023,” ujarnya.
Lau berkata, syarikat kontrator yang kononnya pemaju itu telah menawarkan pelbagai tawaran lakaran pelan rumah mengikut kesesuaian dan bajet pelanggan dengan 'tagline' yang digunakan 'Bina Rumah di Tanah Sendiri' sangat meyakinkan.
“Taktik yang digunakan ialah meminta bayaran pendahuluan dengan menjanjikan bayaran lain boleh dibayar secara berperingkat mengikut kadar peratusan binaan rumah mangsa.
“Pihak kontraktor juga membuat perjanjian bertulis berserta jadual bayaran yang telah ditandatangani kedua pihak kontaktor dan mangsa.
“Namun, setelah bayaran pertama diterima, kebanyakan kerja binaan ini hanya dilaksanakan lima hingga sepuluh peratus sahaja dan terbengkalai hingga sekarang.
“Kontraktor ini bijak bermain dengan kata-kata sambil menawarkan harga yang relevan bagi membolehkan mangsa menggunakan khidmat mereka.
“Penipuan ini pada awalnya melibatkan mangsa dari daerah Bintulu, Betong, Sarikei, Sibu, Sibu Jaya, Kanowit, Selangau, sekitar daerah Mukah termasuk Dalat, Matu, Daro hingga ke Bintulu.
“Namun baru-baru ini, pihak kami dimaklumkan beberapa individu dari Sri Aman dan Miri turut menjadi mangsa.
“Daripada hasil maklumat, kerja-kerja binaan rumah ini dianggarkan melibatkan kos melebihi RM2.2 juta, manakala jumlah kerugian dianggarkan RM1.8 juta termasuk mangsa yang membayar pendahuluan tanpa sebarang kerja dilakukan,” jelasnya.
Lau memberitahu, MTPN telah bertindak membuat lawatan ke alamat cawangan syarikat berkenaan bagi mewakili para pengadu, malangnya pejabat terbabit didapati telah lama tutup dan tidak lagi beroperasi.
“Pada masa sama, pihak MTPN telah menghubungi kontraktor berkenaan untuk tujuan mengadakan perbincangan, tetapi tidak mendapat respons, malah laman Facebook syarikat tersebut juga telah ditutup.
“Pihak MTPN juga telah merujuk beberapa peguam yang merupakan penasihat MTPN bagi tindakan seterusnya.
“Oleh yang demikan, pihak MTPN menyarankan mangsa yang terlibat membuat laporan polis dan menyeru lebih ramai mangsa agar tampil bersama-sama kami serta berharap pihak berwajib dapat menyiasat syarikat kontraktor ini,” katanya.
Lau berkata, MTPN juga ingin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati memilih kontraktor binaan rumah atau mengambil langkah-langkah yang perlu daripada menjadi mangsa penipuan.
“Selidik latar belakang kontraktor sama ada alamat atau cawangan benar-benar wujud atau sebaliknya.
“Pastikan kontraktor berkenaan diyakini dan berdaftar atau diiktiraf kerajaan. Semua kerja binaan wajib mempunyai perjanjian bertulis dengan segala perincian butiran kerja dan mendapat khidmat pandangan peguam.
“Sesuatu bayaran hendaklah dibuat mengikut perjanjian asal yang telah dipersetujui setelah berpuas hati dengan hasil kerja yang diterima.
“Pengetahuan mengenai Akta 56 (geran tanah hak milik), Akta 133 (kebenaran merancang dari PBT) dan Akta 520 (lantikan kontraktor yang berdaftar seperti yang disebutkan) juga penting,” tegasnya.
Sumber: UtusanBorneo
0 Comments