PM perlu batalkan penubuhan JKDM di Sabah




Penubuhan sebuah lagi jentera pentadbiran kampung Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM ) bercanggah dengan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Cap 132.

Penubuhan secara unilateral oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia (KKDW) jelas membelakangi undang-undang negeri.

Saya amat menyokong gesaan pemimpin negeri ini termasuk YB.Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri (KPKAS) yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang meminta agar YAB.Dato Sri Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II yang juga menteri yang bertanggungjawab Hal Ehwal Sabah dan Sarawak supaya menilai semula kewajaran penubuhan JKDM yang dilihat akan menimbulkan kekeliruan dan perpecahan rakyat di peringkat kampung.

Pemimpin lain seperti YB.Datuk Seri Panglima Dr. Jeffry Kitingan, Timbalan Ketua Menteri I merangkap menteri Pertanian dan Perikanan dan juga YB.Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) juga telah menyuarakan bantahan mereka ke atas penubuhan JKDM kerana kesan ketara penubuhan sebuah lagi jentera pentadbiran kerajaan pusat di peringkat kampung seolah-olah tidak menghormati perlembagaan negeri Sabah dan dilihat sebagai menyaingi jentera pentadbiran JKKK yang sedia ada.

Dan persoalan yang harus dijelaskan oleh KKDW ,adakah ketetapan ini merupakan polisi nasional?

Jika ya kenapa tidak dilaksanakan di negeri-negeri lain? Yang jelas penubuhan JKDM ketika ini tertumpu di Sabah sahaja.

Penubuhan JKDM ini jelas memberi gambaran negatif bahawa Kerajaan Pusat sendiri tidak mengotakan prinsip perpaduan yang ingin dicapai melalui konsep Kerajaan Madani.

Diharapkan kerajaan negeri akan menghantar bantahan rasmi kepada YAB.Perdana Menteri Malaysia untuk membatalkan pelaksanaan penubuhan JKDM.

    DATUK FREDIAN GAN
    Ahli Majlis Tertinggi (AMT)
    Parti Bersatu Sabah (PBS)
    23 Mei 2024

    Post a Comment

    0 Comments