Jika mendesak Hajiji letak jawatan adalah fair comment, desak juga TPM dan Menteri Undang-Undang letak jawatan: Pandikar

 

KENYATAAN TERBUKA PRESIDEN USNO KEPADA DATUK BUNG MOKTAR DAN UMNO SABAH

Saya amat teruja membaca kenyataan media Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah, YB Datuk Bung Moktar Radin, dimana didalam kesungguhannya untuk membela rakyat negeri Sabah, dia telah menyarankan supaya YAB Ketua Menteri Sabah dan anggota kabinetnya meletak jawatan, ekoran dari ‘blunder’ yang dicetuskan dimahkamah oleh Tengku Datuk Fuad yang mewakili Kerajaan Negeri Sabah dalam kes SLS vs Kerajaan Persekutuan Malaysia pada 16hb Mei, 2024.

Sejujurnya, saya amat memahami perasaan dan kekecewaan YB Datuk Bung itu. Saya juga berpendirian bahawa, hujah Tengku Datuk Fuad dimahkamah yang tidak membantu SLS amat mengecewakan dan merupakan pencabulan dan pengkhianatan kepada hak-hak rakyat negeri Sabah selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang dimaktubkan di dalam Artikel 112 C dan 112 D Perlembagaan Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Didalam ‘berkongsi’ kekecewaan ini, saya terpanggil untuk mengingatkan kepada YB Datuk Bung, bahawa ‘blunder’ yang dicetuskan oleh Tengku Datuk Fuad itu sebenarnya berpunca dari tindakan Peguam Negara Malaysia yang mewakili Kerajaan Persekutuan yang membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang bersetuju dan memberikan kebenaran kepada SLS untuk memulakan tuntutan Semakan Kehakiman terhadap makna Artikel 112C dan 112D.

Yang amat memusykilkan saya ialah, seandainya Kerajaan Persekutuan mempunyai keiklasan dan kesungguhan untuk membantu rakyat Sabah, kenapakah hak-hak mereka yang dijamin didalam Perlembagaan Kerajaan Persekutuan dibawah Artikel 112D dan 112C tidak dipermudahkan segala pengurusannya. Tetapi sebaliknya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui wakilnya, Peguam Negara menidakkan hak ini dengan membuat rayuan.

Pada saya, sekiranya YB Datuk Bung serius dengan saranannya iaitu mempertanggung jawabkan YAB Ketua Menteri, Hajiji Mohd Noor dan jemaah menterinya atas ‘blunder’ peguam, Tengku Datuk Fuad yang mewakili Kerajaan Negeri, MAKA adalah ‘fair comment’ dan tidak salah kalau saya mengatakan bahawa tindakan Peguam Negara yang membuat rayuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah juga merupakan ‘pencabulan dan pengkhianatan’ kepada hak-hak rakyat negeri Sabah yang dijamin oleh Article 112C dan Artikel 112D.

Sehubungan dengan saranan YB Datuk Bung sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah supaya YAB Datuk Hajiji dan jemaah menterinya meletakkan jawatan atas sebab-sebab yang beliau nyatakan, Maka, adalah juga ‘fair comment’ dan tidak salah kalau saya menyarankan supaya Menteri Undang-Undang , Datuk Seri Azalina Aziz dan Timbalan Perdana Menteri (TPM), YAB Dato Seri Zahid Hamidi selaku pemimpin atas UMNO meletakkan jawatan kerana mereka menidakkan hak-hak rakyat negeri Sabah dengan sikap berdiam diri yang boleh disifatkan sebagai merestui tindakan Peguam Negera membuat rayuan kepada keputusan mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Demi untuk kepentingan rakyat negeri Sabah, saya merayu kepada YB Datuk Bung, supaya beliau secara terbuka membuat kenyataan media mendesak Menteri Undang-Undang Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia menasihati YAB Perdana Menteri untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang telah membenarkan SLS untuk memulakan proses Semakaan Kehakiman berhubung dengan hak hak rakyat negeri Sabah dibawah Artikel 112C dan 112D.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia
PRESIDEN USNO
23 Mei 2024

Post a Comment

0 Comments