4 penjuru di PRK Kuala Kubu Baharu

 

HULU SELANGOR: PRK DUN Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas.

PH mempertaruhkan Pang Sock Tao daripada DAP,  Khairul Azhari Saut daripada Bersatu membawa cabaran PN, PRM diwakili Hafizah Zainudin manakala calon bebas Nyau Ke Xin.

Pang, 31, adalah setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming manakala Khairul, 54, pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Adun DAP daripada PH Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pengumuman calon itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Yuhanas memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima empat borang pencalonan selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi.

Terdahulu, calon PN tiba di pada 8.35 pagi diiringi pemimpin utama antaranya Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan dan Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri.

Manakala calon PH tiba pada 8:43 pagi diiringi Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.


Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments