Pakar gesa mula pencarian baharu MH370 dengan teknologi baharu

 


PETALING JAYA: Pakar-pakar menggesa agar pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang hampir sedekad lepas dijalankan, berdasarkan pendedahan baharu mengenai pesawat itu.

Dalam syarahan di Royal Aeronautical Society pada September, pakar aeroangkasa Jean-Luc Marchand dan juruterbang Patrick Blelly menggesa pihak berkuasa keselamatan pengangkutan Australia, kerajaan Malaysia serta syarikat penerokaan marin Ocean Infinity untuk memulakan pencarian baharu.

Tahun lepas, Ocean Infinity menyatakan minatnya untuk memulakan semula pencarian setelah meninjau kawasan luas Lautan Hindi.

Marchand dan Blelly mencadangkan bahawa carian “pantas” mungkin menjadi peluang ujian yang sangat baik untuk teknologi carian bawah air tanpa pemandu terbaru syarikat itu.

Dalam panggilan terbuka untuk mendapatkan bantuan, Marchand berkata, kawasan pencarian baharu yang dicadangkan boleh diteroka dalam masa 10 hari sahaja.

“Proses (penerokaan) sekejap sahaja. Sehinggalah bangkai pesawat MH370 ditemukan, tiada sesiapa tahu (apa terjadi). Tetapi ini trajektori yang munasabah,” katanya, lapor sebuah portal berita Australia.

Portal berita itu memetik Marchand dan Blelly sebagai berkata, kawasan pencarian baharu itu adalah berdasarkan sangkaan bahawa pesawat itu “dirampas dan ditenggelamkan dengan sengaja di lautan dalam”.

Marchand berkata, rampasan itu mungkin dilakukan oleh juruterbang berpengalaman.

“Kabin itu mengalami nyah tekanan … dan (pesawat) didaratkan di atas air dengan perlahan (soft control ditching) supaya tidak banyak serpihan,” katanya.

“Ia dilakukan supaya tidak terperangkap atau ditemukan. (Individu yang melakukannya) tahu jika operasi mencari dan menyelamat dimulakan, ia akan dilakukan di laluan penerbangan.”

Marchand dan Blelly menambah, perubahan arah secara tiba-tiba berlaku apabila pesawat itu berada di “no man’s land” melibatkan ruang udara Thailand, Indonesia, India dan Malaysia.

FMT telah menghubungi Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan komen.

Ketika ulang tahun kesembilan kehilangan pesawat itu pada Mac, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, beliau tidak akan “menutup buku” tentang MH370 dengan mudah.

Pada petang 8 Mac 2014, pesawat MAS yang membawa 239 orang meninggalkan KLIA menuju Beijing tetapi hilang daripada skrin radar dua jam selepas berlepas.

Source: FMT

Post a Comment

0 Comments