2 Ahli Parlimen PH bidas cadangan tubuh syarikat saingi Media Prima

 

PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) membidas cadangan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad agar gabungan itu menubuhkan syarikat media untuk menyaingi Media Prima Bhd bagi melawan “propaganda negatif”.

Hassan Karim daripada PKR berkata, syarikat media milik PH sukar ditubuhkan kerana setiap parti komponen mempunyai strategi media sendiri.

Lebih baik bagi gabungan itu menumpukan kepada media sosial, terutamanya Tik Tok, untuk mencapai pengundi, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu. Ahli Parlimen PH hanya perlu lebih celik media sosial, tambahnya.

Beliau juga menjadikan PAS sebagai contoh, yang mampu menambah kerusi Parlimennya dengan hanya memanfaatkan media sosial, tanpa syarikat media sendiri.

“Kita kata mereka (PAS) nampak kolot, tetapi sebenarnya mereka lebih arif (dalam media sosial). Mereka mahir IT,” kata Hassan kepada FMT.

“Sekalipun ada media arus perdana, tak kiralah namanya, jika prinsip dan dasar tidak diterima oleh rakyat, ia tidak akan memberikan pulangan.”

Beliau berkata, walaupun Umno “mengawal” Media Prima, parti itu masih gagal meraih sokongan pengundi, yang dapat dilihat menerusi kekalahan besarnya pada dua PRU terdahulu serta PRN Ogos lepas.

Ketika berucap pada Konvensyen Amanah Nasional pada Ahad, Khalid berkata, PH memerlukan syarikat media sendiri agar dapat menambah baik komunikasi dengan rakyat.

Katanya, beliau telah mencadangkan kepada Majlis Presiden PH agar gabungan itu menubuhkan sebuah syarikat media untuk menyaingi Media Prima bagi “menangani propaganda negatif”.

Sementara itu, Syahredzan Johan daripada DAP berkata, walaupun idea Khalid boleh diterokai, tidak realistik untuk bersaing dengan syarikat seperti Media Prima kerana kandungannya bukan semata-mata tertumpu pada penyebaran mesej kepada masyarakat, tetapi juga termasuk hiburan.

“Tiada guna” menubuhkan syarikat media untuk menyaingi Media Prima, tambah Ahli Parlimen Bangi itu.

Syahredzan, yang juga anak kepada wartawan veteran dan bekas pengerusi Media Prima Johan Jaffar berkata, berbanding menubuhkan syarikat media, lebih baik bagi PH untuk menumpukan pada penghasilan kandungan media sosial di platform seperti TikTok dan Instagram.

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments