Ras Adiba rakyat Malaysia pertama terima Anugerah Wanita Berani di Rumah Putih

 


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa (IWOC) 2023 di Rumah Putih, Amerika Syarikat.

Majlis yang berlangsung 11 Mac lepas menyaksikan Ras Adiba antara 11 wanita terpilih daripada 60 calon di seluruh dunia, untuk memenangi anugerah itu.

Sebelum Ras Adiba, beberapa rakyat negara ini sudah terpilih menerima anugerah itu, antaranya Ambiga Sreeneevasan, Nisya Ayub, Susanna Liew, namun penghargaan itu diberikan di Jabatan Negara Amerika Syarikat, bukan di Rumah Putih.

“Tidak terlintas langsung di kepala, saya akan terima anugerah ini sebab ada 60 wanita di seluruh dunia di bawah pemilihan dan pemerhatian Jabatan Negara Amerika Syarikat.

“Kalau orang tanya saya betul ke kamu terima anugerah, saya kata ya, saya menang, tapi selepas itu saya akan picit jari saya. Saya masih tak boleh terima kenyataan itu, bukan sebab tak nak terima, tapi ia (anugerah) sungguh istimewa,” katanya kepada FMT.



Ras Adiba terpilih kerana beliau secara konsisten menggunakan profesionnya untuk memajukan serta mempromosi hak asasi manusia, selain mengetengahkan ketidakadilan di Malaysia menerusi pelbagai platform.

Pelantikan Ras Adiba sebagai ahli Dewan Negara pada 2020 bagi mewakili golongan kurang upaya (OKU), turut dinilai.



Selain Ras Adiba, 10 lagi penerima IWOC turut memiliki portfolio mengagumkan, antaranya Dr Zakira Hekmat dari Afghanistan, Alba Rueda dari Argentina dan Donis Rios dari Costa Rica.

“Apabila kami sampai di Rumah Putih, kami melopong. Tapi kami rasa dihargai, petugas di sana buat kami rasa selesa sangat. Kami rasa seperti kerabat. Alhamdulillah syukur sangat.


“Ini adalah kali pertama selepas Covid-19. Tiga tahun selepas itu, mereka menyampaikannya di Rumah Putih. Ini satu penghargaan yang besar sekali. Kita masa kecil, tengok saja Rumah Putih, lagi kita orang media tengok beritakan? Bila sampai (ke Rumah Putih) saya rasa, betul ke ni? Saya macam tak percaya,” katanya dengan teruja.

Beliau berkata, anugerah itu menguatkan semangatnya untuk terus membantu masyarakat, terutama OKU yang diwakilinya.

“Sewaktu saya mula jadi OKU, enam tahun saya tidak bekerja. Enam tahun itu, saya makan nasi dengan garam dan minum air paip. Saya tidak mahu perkara itu berlaku pada OKU lain.

“Kalau orang bukan OKU boleh pergi sekolah, kami pun mahu begitu. Kami juga mahu tinggal di rumah yang sesuai untuk kami. Kami tidak mahu meminta-minta, kami bukan pengemis. Kami juga warganegara Malaysia. Jadi, apa yang penting, berikan hak yang saksama kepada semua di luar sana.”

Sumber: FMT

Post a Comment

0 Comments