PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii mahu kerajaan mempertimbang mengenakan satu bentuk syarat perjalanan terhadap pengembara yang tiba dari China ke Malaysia susulan peningkatan kes selepas langkah negara itu menamatkan dasar “zero-Covid”, awal bulan ini.
Minggu lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pertubuhan itu “sangat bimbang” berhubung perkembangan situasi Covid-19 di China dengan “peningkatan laporan penyakit berbahaya”.
Walaupun Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini, berkata pihak kementerian bersedia berdepan kemungkinan peningkatan kes Covid-19, beliau tidak mengumumkan sebarang syarat tertentu dikenakan terhadap pengembara yang tiba dari China.
Dalam kenyataannya hari ini, Yii berkata, negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Itali, Korea Selatan dan India mengenakan beberapa syarat tertentu kepada pengembara dari negara itu, terutama selepas amaran dikeluarkan WHO.
“Kerajaan sepatutnya serius melihat ancaman semasa dan mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di China, selain melaksanakan langkah kecemasan sementara,” katanya.
“Ini penting untuk melindungi rakyat termasuk menghalang satu lagi krisis yang membebankan sistem kesihatan kita.”
Amerika Syarikat mula mengenakan ujian mandatori Covid-19 kepada pengembara China, semalam, dan Jepun juga mengambil langkah sama, bermula esok.
Yii yang juga pengerusi jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai kesihatan, sains dan inovasi, mencadangkan Malaysia mengikuti langkah sama dan memastikan pengembara dari China mengambil ujian Covid-19, sekurang-kurangnya dua hari sebelum ketibaan ke negara ini.
Katanya, pengembara dari negara itu perlu menjalani ujian sejurus tiba dengan mereka yang disahkan positif dikenakan kuarantin selama tujuh hari.
Reuters melaporkan, sejak China melonggarkan sekatan ketat mengekang penularan Covid-19, negara itu berdepan peningkatan mendadak kes, selain kemasukan mendadak pesakit ke hospital, serta memberi ingatan kepada negara luar mengenakan sekatan terhadap pengembaranya.
Laporan itu juga menyebut, kelonggaran sekatan di China susulan protes meluas terhadap langkah ketat diambil pemerintah menjurus penularan Covid-19 dan dipercayai menjangkiti jutaan penduduknya dalam sehari.
Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad memberi maklum lebih 50% rakyat China mendarat di Lapangan Terbang Milan yang semuanya positif Covid-19.
“Peringatan global dan koordinasi perlu lebih kuat. India, Jepun dan Amerika Syarikat memerlukan ujian negatif (terhadap pelawat China),” katanya dalam ciapan di Twitter.
Beliau juga mempersoalkan sama ada negara ini sudah bersedia.
Sumber: FMT
0 Comments