Biar perwakilan tentukan Presiden, Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak

 

KUALA LUMPUR: Sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak, biar perwakilan yang tentukan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Bercakap dalam program bual bicara bertajuk Rekonsiliasi Politik – Apa Untung Pada Negara malam ini, Presiden UMNO itu mengakui beliau seorang yang demokratik.


“Jadi saya seorang yang demokrat. Saya arahkan kepada perwakilan untuk menentukan,” katanya.


Meskipun tidak menjawab secara langsung adakah beliau bersetuju bahawa dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan pada pemilihan nanti, Ahmad Zahid memberi contoh beberapa bekas Presiden UMNO yang sebelum ini pernah berbuat demikian.


Antaranya ketika UMNO dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.


“Tetapi harus diingat ada beberapa kali jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi. Di zaman pemimpin 22 tahun (Dr Mahathir) ada. Beberapa kali di zaman Pak Lah (Abdullah).


“Zaman Datuk Seri Najib (Razak) Ada cadangan tetapi tak jadi…Beberapa kali juga beliau mengalami keadaan itu,” katanya.


Mengimbau kembali sewaktu menjadi pemangku Presiden UMNO pada 2018, Ahmad Zahid berkata, beliau ketika itu memutuskan bahawa semua jawatan boleh dipertandingkan termasuk Presiden serta Timbalan Presiden.


Jelasnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi walaupun ada suara dalam UMNO yang mendesak supaya jawatan berkenaan tidak dipertandingkan.
“Ya saya mengakui bahawa pada 2018 walaupun keputusan Perhimpunan Agung 2017 meminta supaya Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi.


“Tetapi apabila saya menjalankan tugas sebagai Presiden walaupun ketika itu saya belum lagi Presiden dan cuma Naib Presiden Yang menjalankan tugas Presiden UMNO pada 2018, saya telah memutuskan dalam Majlis Tertinggi bahawa semua jawatan boleh dipertandingkan,” katanya.

Sumber: SBN

Post a Comment

0 Comments