SEMPORNA: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya Lahad Datu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021.
Nurul Niesyairah Paweroi dan Muhammad Zulkifli Iskandar masing-masing mengambil matapelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Ekonomi serta Geografi dan mencapai gred A untuk keempat-empat matapelajaran tersebut.
Hasil kejayaan mereka membuktikan bahawa pembelajaran secara online akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menjejaskan prestasi akademik mereka.
Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Sepagaya Lahad Datu Jeff Joannes berkata sehingga kini seramai enam pelajar Tingkatan Enam di sekolah tersebut berjaya mencapai PNGK 4.00 sejak tahun 2016.
Katanya kesemua pelajar berjaya melanjutkan pelajaran di universiti tempatan yang terkenal seperti Universiti Malaya.
“Keputusan STPM 2021 ini menunjukkan SMK Sepagaya Lahad Datu berjaya mencatatkan 41 orang pelajar mencapai PNGK 3.00 dan ke atas serta 15 orang pelajar mencapai PNGK 3.50 dan ke atas.
“Semoga kejayaan ini menjadi dorongan dan motivasi untuk pelajar-pelajar STPM pada tahun ini, tahniah dan syabas diucapkan kepada semua tenaga pengajar Pusat Tingkatan Enam SMK Sepagaya Lahad Datu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pengumuman Keputusan Keseluruhan STPM 2021 di sini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Tah Nia Jaman, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Mohd Zaini Yanin dan guru pengiring Marlina Boteh.
Sumber: Utusan Borneo
0 Comments