MA63: Gelombang 11 tahun berterusan

MA63: Gelombang 11 tahun berterusan


Mengimbas semula peristiwa pada 31 Oktober 2010, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), telah membangkitkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa pilihan raya kecil Batu Sapi di Sandakan.

Langkah beliau ini telah meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa ‘orang Sabah secara sah boleh mengejar hak-hak autonomi, sebagai sebuah negara yang berdaulat di Persekutuan Malaysia’, di atas memorandum 20-perkara yang merupakan syarat-syarat yang dicadangkan sebelum pembentukan persekutuan.

Perjuangan untuk MA63 berlanjutan dan terus memuncak semasa Pilihan Raya Umum ke-13 Malaysia (PRU13) pada tahun 2013, kerana ia adalah salah satu bahagian terpenting dalam manifesto pilihanraya SAPP.

Selepas PRU13, Pemuda SAPP berkempen secara agresif untuk isu MA63, dan banyak badan bukan kerajaan (NGO) menyahut dan membincangkan serta menyebarkannya seperti api yang marak di seluruh Sabah dan bahkan ke Sarawak dan negeri-negeri Semenanjung.

Pelbagai ceramah, forum dan gerakan yang dianjurkan oleh NGO termasuk Solidariti Rakyat Sabah (SORAK), Black Sunday, Borneo Tea Party, United Borneo Front (UBF), Borneo Heritage Foundation (BHF), Pertubuhan Pendidikan Rakyat Sabah (PIPA), Solidariti Belia Sabah (SYS), Mosik, Gerakan Persahabatan North Borneo (NBFM), SSU-UK, sekadar menyebut beberapa nama, telah membantu lebih ramai rakyat Sabah dan Malaysia memahami dengan lebih jelas mengenai sejarah kita sendiri.

Pada 7 Mac 2015, Menteri Luar Negeri ketika itu memulai dan menjadi moderator forum dengan topik "Forum Pembentukan Malaysia" di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Datuk Yong Teck Lee adalah salah seorang panelis, bersama dengan Datuk Jeffrey Kitingan, Allahyarham Zainal Ajamain, Tan Sri Majid Khan (bekas Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Fuad Stephens), Prof Madya Dr. Bilcher Bala, Dr. Zaini Osman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Prof Madya Dr Faridah Jalil, Lahirul Latigu antara lain.

Forum itu membincangkan bukan sahaja perjanjian (MA63) itu sendiri, tetapi juga menyentuh mengenai laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Borneonisasi, Hari Sabah Berkerajaan Sendiri (31 Ogos 1963), Hari Malaysia (16 September 1963), Perlembagaan Persekutuan, Autonomi Sabah, agama, kewangan, pendidikan dan topik yang berkaitan.

Semasa PRU14 pada tahun 2018, semua parti politik, baik yang berkuasa atau pembangkang, menjadikan MA63 sebagai titik utama dalam manifesto masing-masing.

Gelombang MA63 yang dimulakan oleh Yong Teck Lee sekitar 11 tahun yang lalu, kini telah menjadi arus perdana politik Malaysia.

Pada bulan Mac 2020, kementerian baru yang memegang portfolio Urusan Sabah dan Sarawak telah dibentuk di bawah Kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN), dan portfolio itu kekal walaupun pimpinan tertinggi telah bertukar menjadi Barisan Nasional. Minggu depan (26 Oktober 2021), RUU MA63 akan dibentangkan di parlimen menurut Wan Junaidi, Menteri Undang-Undang. 

Kota Kinabalu
26 Oktober 2021



Post a Comment

0 Comments